PETALING JAYA : Seorang wanita adalah antara lapan calon Program Angkasawan Malaysia yang berjaya melepasi enam peringkat saringan untuk meneruskan cabaran menjadi angkasawan pertama Negara.
Mereka ialah Norazlan Shah Mahadi, 36, seorang pengurus projek; Kelvin Lim Hock Seong, 25, (Juruterbang); Mohammed Faiz Kamaludin, 34, (Juruterbang); Mohd. Bostami Ahmad, 25, (Penyelaras Reka Bentuk); Muhammad Husaini Hashim, 25, (Jurutera Mekanikal); S. Vananjah, 35 (wanita – Jurutera Kualiti); Dr. Syeikh Muszaphar Shukor, 34 (doktor perubatan) dan Faiz Khaleed, 26 (doktor gigi).
Nama mereka diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis selepas mesyuarat pasca Kabinet di Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca, di sini semalam.
Jamaludin berkata, hanya empat akan dipilih menjalani ujian perubatan terperinci selama dua minggu di Negara itu sebelum dua daripadanya dipilih untuk latihan seterusnya.
Nama empat calon itu akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pertengahan bulan depan, manakala dua yang dipilih untuk mengikuti latihan 18 bulan di Star City, Moscow akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Daripada dua calon itu, hanya seorang akan dipilih untuk mengikuti angkasawan Russia ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada Oktober 2007.
Calon wanita tunggal, Vanajah gembira terpilih walaupun menyedari perjalanan menjadi angkasawan belum berakhir.
“Saya berasa diri ini setaraf dengan calon lain dan tidak memikirkan soal jantina kerana peluang menjadi angkasawan sama rata sama ada wanita atau lelaki. Saya akan mengekalkan kekuatan fizikal dan mental untuk menghadapi peringkat seterusnya iaitu ditemuduga panel pemilihan,” katanya.
Husaini yang mempunyai kelulusan kejuruteraan angkasa dan mekanikal, bersyukur kerana cita-cita menyertai bidang angkasa lepas hampir tercapai.
“Persediaan saya ialah banyak membaca buku berkaitan angkasa lepas dan jika berjaya saya mahu memberi sumbangan kepada teknologi angkasa lepas di Malaysia berdasarkan pengalaman ketika di Russia dan ISS,” katanya.
Bostami yan sejak kecil minat menghasilkan rekaan berkaitan angkasa lepas, berkata cita-citanya semakin hampir apabila terpilih dalam senarai lapan calon.
Berita Harian
9 Feb 2006 |
|
| Back to Index | Next |
|
|