|
Seramai 27 peserta telah disenaraipendekkan untuk menjalani ujian lanjut dalam proses pemilihan Program Calon Angkasawan Malaysia. Mereka ini terdiri dari 25 lima calon lelaki dan 2 calon wanita. Program pemilihan selanjutnya akan berlangsung mulai 16 Januari 2006 hingga 26 Januari 2006 dan dibahagikan kepada 3 fasa.
Fasa pertama melibatkan ujian perubatan seperti ujian ‘stress test’, ‘ultrasound’ dan ‘lung function’. Selain dari itu para calon juga akan didedahkan kepada ujian aerofisiologi yang melibatkan latihan ke ‘altitude’ tinggi dan juga ujian ketahanan kepada tarikan ‘G’. Ujian-ujian ini akan dikendalikan di Klinik Pakar 95 Hospital Angkatan Tentera di Jalan Padang Tembak serta Institut Perubatan Penerbangan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur dan Subang.
Fasa kedua program ini akan dikendalikan di Pangkalan TLDM Lumut yang melibatkan ujian asas ikhtiar hidup di darat dan laut sebagai satu pendedahan awal kepada calon dari segi ikhtiar hidup dan juga sebagai satu ujian ketahanan mental dan fizikal. Ujian ini akan dikendalikan oleh pelbagai unit TLDM yang mempunyai kepakaran dari segi latihan ikhtiar hidup, menyelam dan mencari dan menyelamat.
Calon-calon yang berjaya akan kemudiannya menjalani ujian perubatan akhir yang melibatkan kajian yang lebih mendalam seperti ‘CT Scan’ dan ‘Endoscopy’ di mana ianya akan dilakukan oleh Pakar-pakar perubatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut. Sepanjang program ini dilaksanakan, calon-calon juga akan dinilai dari segi kesihatan mental dan psikologikal seorang angkasawan.
Agensi Angkasa Negara (ANGKASA)
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
9 Januari 2006
Senarai Peserta
|